Khamis, 1 Mac 2012

SEMBAHYANG SUNAT DUHA


Sembahyang Duha:

  • Dilakukan pada waktu duha, ketika matahari naik lebih kurang segalah (kira-kira pukul 8.30 pagi) hingga matahari berada di tengah-tengah langit atau di atas kepala.

  • Termasuk sembahyang yang disyariatkan dalam Islam.

  • Tidak termasuk dalam sembahyang yang sentiasa dianjurkan Baginda. Sembahyang yang kadang-kadang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan kadang-kadang tidak.

  • Dilakukan sebanyak 2, 4, 6 atau 12 rakaat, setiap 2 rakaat 1 salam.

Kelebihan Sembahyang Duha:


  • Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud dari Abu Dzar r.a. yang bermaksud: "Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk masing-masing ruas tulang badannya. Maka bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid ialah sedekah menyuruh kebaikan adalah sedekah melarang keburukan adalah sedekah, dan sebagai ganti daripada semuanya itu cukuplah mengerjakan duha sebanyak dua rakaat."

  • Ahmad dan Daud meriwayatkan dari Baridah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dalam tubuh manusia itu terdapat 360 ruas tulang. Hendaklah dia bersedekah untuk setiap ruas itu. “Para sahabat bertanya: “Siapakah yang mampu melaksanakan itu, ya Rasulullah…?” Rasulullah menjawab, ”kotoran yang ada di masjid, lantas ditutupnya dengan tanah, atau menyingkirkan sesuatu gangguan dari tengah jalan itu bererti sedekah. Atau sekiranya sanggup cukupkanlah sembahyang duha dua rakaat.”

  • Hakim dan Tabrani meriwayatkan daripada Nuas bin Sa’man, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah S.W.T. berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan sembahyang sebanyak empat rakaat pada permulaan siang (sembahyang duha), kelak akan Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petang.”

  • Ahmad, Tabrani dan Abu I’ali dari Abdullah bin Umar telah meriwayatkan yang telah meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. mengirimkan satu pasukan tentera lalu mereka banyak mendapatkan harta rampasan dan cepat kembali. Maka orang ramai memperkatakan bertapa cepatnya perang itu selesai dan bertapa banyaknya harta rampasan diperolehi dan segera pula kembali. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, mahukah kamu saya tunjukkan sesuatu yang lebih cepat daripada peperangan yang seperti itu, lebih banyak pula harta rampasan bahkan lebih cepat pula kembali daripada itu? Iaitu seseorang yang berwuduk kemudian pergi ke masjid untuk melakukan sembahyang duha. Orang itulah lebih cepat selesai perang, lebih banyak memperolehi harta rampasan dan lebih segera pula kembalinya.”