Jumaat, 8 Februari 2013

Solat Jumaat Jemaah Kurang Dari 40 Orang


Adakalanya apabila kita menghadiri solat Jumaat di masjid-masjid atau surau-surau di negara-negara di mana umat Islamnya wujud sebagai kaum minoriti, kita akan dapati solat Jumaat mereka dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang. Maka dalam suasana ini bagaimanakah hukum solat Jumaat tersebut mengingatkan kepada pendapat masyhur tempatan yang mengatakan bahawa bilangan minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang ?
Dalam hal ini penulis tidak akan membicarakan hukum solat Jumaat yang dihadiri kurang daripada 40 orang tetapi sebaliknya akan mengupas dasar rujukan bilangan 40 itu sendiri. Pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum jemaah solat Jumaat adalah 40 orang adalah berdasarkan kepada hadith berikut ini:
Abdurrahman bin Ka'ab menceritakan bahawa apabila ayahnya mendengar seruan azan hari Jumaat, dia mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku: Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ?
Jawab ayahku: Kerana dialah yang pertama kali melakukan solat Jumaat bersama kami di Hazm Annabit, terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi'ul Khadhamat.
Aku bertanya: Berapa orang (yang hadir) ketika itu ?
Jawab ayahku: 40 orang.[5]
Hadith di atas dijadikan sumber rujukan oleh pihak yang berpendapat bahawa jumlah minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang. Walaubagaimanapun pengkajian mendalam oleh ahli-ahli hadith serta fiqh mendapati bahawa hadith di atas tidak boleh dijadikan sumber patukan hukum 40 orang sebagai bilangan minimum kerana hadith tersebut hanya menyatakan jumlah jemaah yang hadir dan tidak pula membatasi jumlah tersebut. Justeru itu hadith di atas tidak boleh dijadikan hujah bagi menghadkan bilangan minimum jemaah bagi satu-satu solat Jumaat yang dilaksanakan. Imam asy-Shaukani menulis: Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadith di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum.[6]
Selain itu pihak yang menghadkan jumlah minimum 40 orang juga merujuk kepada atsar sahabat berikut ini, di mana Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhu telah diriwayatkan berkata:Kami solat Jumaat bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Ibnu Mas'ud) adalah orang terakhir yang datang sedang jumlah kami adalah 40 orang laki-laki.[7]  Atsar ini juga tidak boleh dijadikan rujukan tepat kerana ia hanya menceritakan secara kebetulan bahawa jumlah jemaah adalah 40 orang dan bukannya pula mensyaratkan jumlah minimum 40 orang.
Apa yang benar dalam hal ini adalah - tidak ada jumlah minimum bilangan jemaah yang disyaratkan oleh syari'at bagi mensahkan sesuatu solat Jumaat itu. Dalam beberapa riwayat-riwayat lain jelas tertera bahawa solat Jumaat pernah didirikan di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dengan jumlah yang kurang dari 40 orang.[8] 
Pernah sekali suatu rombongan perdagangan dari Syam tiba di kala Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sedang memberi khutbah solat Jumaat lalu para jemaah terus keluar dan menuju kepada rombongan tersebut sehingga yang tertinggal di masjid hanya 12 orang sahaja. Solat Jumaat itu diteruskan dengan jemaah yang 12 tersebut tanpa apa-apa halangan atau pembatalan dan tidak pula diulangkan.[9]
Yang sahih adalah - apabila sahaja sesuatu solat Jumaat itu menepati syarat-syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum, maka itu adalah mencukupi sebagai syarat sah solat tersebut.  Imam asy-Shaukani menganalisa: Ketahuilah, tidak ada landasan dalil untuk mensyaratkan jumlah 80, 30, 10, 9 mahupun 7 orang, begitu pula sahnya Jumaat hanya dengan satu orang sahaja. Pihak-pihak yang menganggap sahnya Jumaat hanya dengan 2 orang sahaja beralasan bahawa jumlah ini adalah berdasarkan hadith dan ijma'. Mereka berpendapat tidak ada dalil yang mengsyaratkan jumlah tertentu padahal jemaah dalam solat apajua sudah sah hanya dengan 2 orang, tidak ada perbezaan antara solat Jumaat dan solat jemaah. Dan tidak ada nas dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bahawa solat Jumaat tidak sah kecuali dengan jumlah sekian-sekian orang. Pendapat inilah yang paling kuat dan rajih menurut saya.[10]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili juga telah menulis: Jelas kepada pengarang bahawa sembahyang Jumaat perlu kepada perhimpunan jemaah. Apabila tercapai jemaah yang ramai mengikut kebiasaan maka diwajibkan sembahyang Jumaat dan hukumnya adalah sah. Dan tidak terdapat nas yang jelas yang mensyaratkan bilangan tertentu tetapi jemaah adalah syarat yang disepakati semua ulama' bagi sembahyang Jumaat kerana sudah maklum di dalam syara' bahawa jemaah itu terdapat ketika sembahyang.[11]
Kesimpulan dalam perbicaraan ini adalah bahawa tidak ada jumlah minimum jemaah yang perlu untuk dijadikan syarat sah solat Jumaat. Asal sahaja dalam sesuatu perhimpunan itu menepati syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum maka itu adalah memadai. Sudah tentu semakin ramai jemaah semakin afdal solat tersebut tetapi ini adalah sekadar keutamaan dan bukan syarat ketetapan. Oleh itu seseorang yang menyertai solat Jumaat yang dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang, samada di seberang mahupun di tanah air, maka solatnya itu beserta solat para jemaah lainnya adalah tetap sah.
___________________________________________________________

[5]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 1028 , dinilai hasan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Nail-ul-Authar, 3/535.
[6]               Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/536.
[7]               Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Baihaqi dari Nail-ul-Authar, 3/537 , dikemukakan oleh Imam asy-Shaukani tanpa membicarakan status kekuatannya. Sebagai analisa, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili ada mengemukakan sebuah atsar berlainan yang juga berasal dari Abdullah ibnu Mas'ud yang menerangkan bahawa jumlah minima jemaah solat Jumaat adalah 40 orang dan tidak sah jikalau jumlah ini dikurangi. Walaubagaimanapun atsar ini yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi tidak dikemukakan sumber rujukannya dan ia juga tidak dijadikan dalil pegangan oleh Dr. Wahbah Zuhaili sendiri. Lihat kitab beliau - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/295.
[8]               Kajian lanjut terhadap riwayat-riwayat ini, sila lihat buku Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 113-124 oleh A. Chodri Romli, terbitan Al-Hidayah, M'sia, 1994.
[9]               Maksud pengajaran hadith dari Sunan Tirmizi - no: 3365, dikemukakan sebagai hujah oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/294 dan A. Chodri Romli - Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 27-28.
[10]             Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/538.
[11]             Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/296.

Tiada ulasan: