Isnin, 18 Februari 2013

Al-Ghaffar (Maha Pengampun)


Al-Ghaffar dari segi bahasa berasal dari kata "ghaffara" yang bererti penutup. Al-Ghaffar ertinya Dia menutup dosa-dosa hambaNya kerana kemurahan dan anugerahNya.

Allah al-Ghaffar ertinya Allah Maha Pengampun atas segala dosa dan kesalahan. Ampunan Allah itu luas dan tak bertepi. Lebih luas daripada seluruh dosa manusia. Allah akan mengampuni siapa saja yang memohon ampun kepadaNya.

Allah berfirman dalam surah az-Zumar, ayat 3:
"Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Allah bukan hanya mengampuni dosa manusia yang memohon ampun daripadaNya tapi juga menggantinya dengan kebaikan. Al-Quran menegaskan dalam surah al-Furqan, ayat 70:
"Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Demikian makna al-Ghaffar. Sekarang bagaimana bentuk mencontohi nama dan sifat Allah al-Ghaffar? Mencontohi nama dan sifat Allah al-Ghaffar bererti kita harus memaafkan kesalahan orang lain. Kita tidak boleh dendam kepadaNya.

Al-Quran menegaskan dalam surah asy-Syuraa, ayat 43:
"Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan mulia."

Selain itu kita juga dituntut  menutup aib orang lain dan tidak menyebarkannya. Ingatlah pesan Rasulullah saw dalam hadisnya:
"Seseorang yang menutupi aib orang lain di dunia, nescaya Allah akan menutupi aibnya pada hari kemudian (akhirat)."  (H.R. Muslim).

Ada 1 kisah,

Hadis riwayat Abu Said al-Khudri ra:

Bahawa Nabi saw bersabda: Di antara umat sebelum kamu sekalian terdapat seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Lalu dia bertanya tentang penduduk bumi yang paling berilmu, kemudian dia ditunjukkan kepada seorang pendeta. Dia pun menjumpai pendeta tersebut dan mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang, apakah taubatnya akan diterima?

Pendeta itu menjawab: Tidak! Lalu dibunuhnya pendeta itu sehingga lengkap 100 pembunuhan.

Kemudian dia bertanya lagi penduduk bumi yang paling berilmu lalu ditunjukkan kepada seorang alim yang segera dikatakan kepadanya bahawa dia telah membunuh 100 nyawa, apakah taubatnya akan diterima?

Orang alim itu menjawab: Ya, dan siapakah yang dapat menghalang taubat seseorang! Pergilah ke negeri Anu dan Anu kerana di sana terdapat kaum yang selalu beribadah kepada Allah dan sembahlah Allah bersama mereka dan janganlah kembali ke negerimu kerana negerimu itu negeri yang penuh dengan kejahatan!

Orang itu pun lalu berangkat, sampai ketika ia telah mencapai setengah perjalanan datanglah maut menjemputnya. Berselisihlah malaikat rahmat dan malaikat azab mengenainya.

Malaikat rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat dam menghadap sepenuh hati kepada Allah.

Malaikat azab berkata: Dia belum pernah melakukan 1 perbuatan baik pun. Lalu datanglah seorang malaikat yang menjelma sebagai manusia menghampiri mereka, yang segera mereka angkat sebagai orang tengah.

Ia berkata: Ukurlah jarak antara 2 negeri itu, ke negeri mana ia lebih dekat, maka ia menjadi miliknya. Lalu mereka pun mengukurnya dan mendapati orang itu lebih dekat di negara yang akan ditujuinya, sehingga diambillah oleh malaikat rahmat. (Sahih Muslim no.4967).

Akhirnya marilah kita berdoa: "Ya Tuhan kami. Kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Emgkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Al-A'raf: 23).

Sumber:
http://braderhudoo.blogspot.com/2008/10/al-ghaffar-maha-pengampun.html
Rahsia Keajaiban Asma'ul Husna

Tiada ulasan: